Laman Utama
 Pemerahan Otak




Penterjemahan:

'العربية / Al-ʿarabīyah
Bahasa Indonesia
Català
中文 / Zhōngwén
Deutsch
English
Español
Français
Ελληνικά / Elliniká
Italiano
日本語 / Nihongo
한국어 / Hangugeo
بهاس ملايو / Bahasa Melayu
Português
Română
Русский
Српски / Srpski
Tiếng Việt

                                        

Laman lain:

Modul

Peta Laman

Kata Kunci

Hubungi

Dokumen Berguna

Pautan Berguna

Isi Kandungan:

Isi Kandungan:

Isi Kandungan:

Isi Kandungan:

Isi Kandungan:

Isi Kandungan:

TINJAUAN KEPADA PEMERAHAN OTAK

oleh Phil Bartle, PhD

Diterjemahkan oleh Grace Tam


Nota untuk Fasilitator

Bagaimana menggunakan sesi pemerahan otak sebagai satu kaedah untuk mencapai keputusan kumpulan secara penglibatan

Abstrak:

"Pemerahan Otak" ialah satu kaedah utama dalam memudahcarakan pengupayaan kumpulan. Dokumen ini membincangkan rasional di sebalik peraturan dan struktur sesi pemerahan otak. Dokumen ini juga menunjukkan bagaimana sesi ini dikaitkan dengan tujuan keseluruhan atau pembinaan keupayaan di kalangan komuniti berpendapatan rendah.

Pengenalan:

Edaran dua muka surat "Pemerahan Otak" ialah satu keterangan ringkas - satu resipi "bagaimana" - yang ditujukan kepada jurulatih yang sedang belajar menjadi fasilitator untuk mengendalikan sesi pemerahan otak bagi meningkatkan keupayaan. Edaran ini tidak mengandungi teori atau penjelasan kepada prinsip-prinsip. Dokumen ini adalah sebagai pelengkap kepada edaran itu, dan bertujuan mengemukakan beberapa soalan tentang mengapa sesi pemerahan otak distrukturkan seperti ini, dan bagaimana sesetengah peraturan memberi sumbangan kepada beberapa objektif sesi pemerahan otak dan pembinaan keupayaan secara umum.

Elemen pemerahan otak yang dibincangkan di sini termasuklah:
  • pembuatan keputusan kumpulan secara penyertaan;
  • peranan fasilitator;
  • peraturan "tidak mengkritik" dan "tidak berbalas kata";
  • penggunaan papan catatan atau kertas catatan di dinding;
  • pengisian dan susunan tajuk;
  • proses pengutamaan; dan
  • panggilan untuk pengorganisasian dan tindakan.

Pemerahan otak mempunyai potensi untuk menjadi satu kaedah yang berkeupayaan tinggi untuk mencapai matlamat keseluruhannya; memperkukuh komuniti berpendapatan rendah (pembangunan berkekalan). Kaedah ini membantu mengupayakan komuniti, membina keupayaan komuniti untuk membuat keputusan penting yang menentukan hala tujunya sendiri, dan memainkan peranannya dalam proses demokrasi bangsa dan dunia. Seperti kaedah yang lain, kaedah ini mestilah difahami oleh penggunanya dan perlu digunakan dengan cara yang betul untuk memastikan keberkesanannya.

Keputusan Kumpulan secara Penyertaan atau Kreatif:

Matlamat sesi pemerahan otak adalah untuk membentuk persekitaran untuk kumpulan dan bukannya individu, untuk membuat keputusan atau satu set keputusan oleh kumpulan dan untuk kumpulan keseluruhannya. Ini mengurangkan dominasi oleh seseorang individu atau kumpulan kecil. Kaedah ini juga mengukuhkan penyertaan oleh semua peserta, dengan galakan proaktif yang istimewa untuk penyertaan oleh individu dalam kumpulan yang biasanya tidak begitu melibatkan diri (atas sebab-sebab tertentu).

Matlamat perantaraan sesi pemerahan otak bukan "kreativiti". Penyelesaian yang inovatif dan bukan ortodoks kepada masalah adalah dialu-alukan dan digalakkan, tetapi sesi itu tidak gagal sekiranya tidak ada idea baru yang dihasilkan. (Dalam seluruh proses mobilisasi, pemecahan idea dan pernyataan yang menghalang proses pengukuhan dan pengenalan idea baru kepada kumpulan adalah digalakkan sekiranya itu memberi sumbangan kepada pengupayaan). Sesetengah idea atau pernyataan mungkin baru kepada kumpulan, contohnya mereka mempunyai hak dan tanggungjawab untuk membuat keputusan yang mempengaruhi diri mereka, mereka tidak seharusnya terus pasif, Tuhan tidak menyuruh mereka tidak membuat apa-apa, integrasi budaya tidak bermakna terus berpegang kepada amalan tradisional yang disfungsi, dan mereka tidak perlu terus menerima secara pasif terhadap penyakit, kemiskinan dan kezaliman. Sesetengah idea mungkin baru kepada kumpulan yang terlibat tetapi tidaklah kreatif dari segi membawa sesuatu yang baru kepada dunia.

Penyertaan diberi keutamaan berbanding kreativiti. Kreativiti kumpulan secara keseluruhannya diberi keutamaan melebihi kreativiti individu semasa sesi pemerahan otak.

Tujuannya adalah untuk membentuk satu sesi latihan yang menggalakkan penyertaan semua ahli kumpulan dalam pembuatan keputusan. Keputusan yang dibuat semasa sesi hendaklah merupakan keputusan penting yang mempengaruhi seluruh komuniti atau kumpulan keseluruhannya. (Ini bukan sekadar satu latihan pembelajaran dalam bilik darjah).

Peraturan yang dikuatkuasa secara sementara semasa sesi menyokong ke arah satu persekitaran yang menggalakkan penyertaan (dalam pembuatan keputusan) di kalangan mereka yang tidak biasa berbuat demikian.

Peranan Fasilitator:

Peranan fasilitator dalam sesi pemerahan otak adalah penting. Sekumpulan individu yang tidak teratur, jika dibiarkan, tidak akan teratur secara spontan untuk membuat keputusan kumpulan yang penting serta tidak akan memastikan bahawa input kepada keputusan yang dibuat itu adalah daripada semua ahli kumpulan, terutamanya mereka yang tidak berniat untuk mengambil bahagian.

Struktur diperlukan; iaitu satu set peraturan dan prosedur yang tersusun untuk proses ini dilaksanakan seperti yang dirancang. Peranan fasilitator ialah untuk memastikan di peringkat awal bahawa terdapat satu struktur, dan struktur ini dikekalkan. Kemudian, fasilitator mestilah menunjukkan bahawa keputusan adalah datang daripada peserta sebagai satu kumpulan, dan bukannya fasilitator, atau daripada individu atau kumpulan kecil dalam kumpulan tersebut. Ini dibantu dengan struktur itu, dan merupakan hasil daripada tindakan yang diambil oleh fasilitator dalam mendapatkan pandangan daripada peserta dalam sesi berkumpulan.

Fasilitator perlu mempunyai pelbagai jenis kemahiran dan pengalaman dalam kepimpinan. Dengan adanya kemahiran ini serta pengamalan kemahiran ini dalam memobilisasi dan mengorganisasikan kumpulan komuniti, adalah penting utuk fasilitator tidak menyalahgunakan kemahiran itu untuk matlamat peribadi dan kepentingan politik individu. Fasilitator berperanan memimpin satu kumpulan individu yang tidak teratur melalui satu proses yang memupuk mereka kepada satu kumpulan yang boleh membuat keputusan. Tindakan yang diambil dalam mengelolakan sesi pemerahan otak adalah "atas-bawah" dan diperkenalkan oleh fasilitator, bukannya peserta, tetapi tindakan ini disusun sebegitu untuk memimpin kumpulan ke arah pembuatan keputusan secara berkumpulan (bawah-atas).

Peraturan "Tidak Mengkritik" dan "Tidak Berbalas Kata"

Dalam sistem politik demokrasi, kritikan adalah dibenarkan, malahan digalakkan, terutamanya kritikan oleh orang ramai terhadap pemimpin yang dipercayai mereka, apabila didapati pemimpin tersebut dilihat sebagai menyeleweng daripada kehendak orang ramai. Walau bagaimanapun, dalam struktur pemerahan otak, kritikan terbuka adalah disekat.

Galakan kepada yang segan.
Fasilitator harus menggalakkan segala pandangan, termasuk yang kurang bijak. Sesetengah peserta mungkin memanggil anda penipu lalu sengaja mengemukakan cadangan yang kurang bijak. Tidak ada masalah. Tidak ada maklum balas; tidak ada penilaian; cuma catatkan mereka di papan catatan.

Semasa pengutamaan (rujuk teks di bawah), cadangan yang kurang berguna digugurkan secara senyap. Tidak ada buruknya cadangan yang kurang berguna itu berada di situ. Tetapi, pada masa yang sama, peserta yang segan diberi galakan untuk melibatkan diri. Apabila mereka sedar bahawa mereka tidak akan dipertanggungjawabkan di khalayak umum dan tidak perlu mempertahankan cadangan mereka secara serta-merta, mereka akan lebih yakin untuk mengambil bahagian. (Fasilitator perlu memupuk satu persekitaran yang selamat). Kritikan terbuka akan membuat seseorang berasa terancam. Dalam sesi pemerahan otak, kritikan secara langsung ditangguhkan dan pada masa yang sesuai, cadangan yang kurang berguna akan digugurkan secara senyap. Dengan menggunakan kaedah ini, kredibiliti cadangan yang dikemukakan mungkin boleh diragui, tetapi kredibiliti peserta tidak dipersoalkan.

Balas kata adalah perbualan dan perbincangan antara peserta. Apabila seseorang peserta mengemukakan cadangan, fasilitator seharusnya mencatatkannya di papan catatan secara tenang, tanpa sebarang reaksi, respons atau maklum balas, malahan tidak membenarkan mana-mana peserta berbuat demikian. Ini adalah penting untuk menunjukkan bahawa fasilitator adalah tidak berat sebelah, dan tidak cuba mengenakan apa-apa idea terhadap kumpulan, sebaliknya, cuba membawakan pilihan kumpulan secara keseluruhannya.

Dalam sesi biasa (bukan sesi pemerahan otak), balas kata dan perbincangan adalah dialu-alukan, tetapi perbuatan ini akan menjadi disfungi dalam sesi pemerahan otak. Perbuatan ini membazir masa yang berharga; melencong daripada tajuk penting yang perlu ditangani; mengurangkan fokus kumpulan daripada proses pembuatan keputusan dan membawa lebih kebaikan kepada ahli kumpulan yang lebih aktif dan kurang segan lalu mengabaikan ahli kumpulan yang berat mulut.

Di luar sesi pemerahan otak, mobilisasi bertujuan menggalakkan lebih banyak penyertaan daripada kumpulan dan kategori orang, yang mungkin sebelum ini, telah dikecualikan secara sistematik daripada amalan pembuatan keputusan komuniti. Penggerak telah membuat banyak penyelidikan ke atas komuniti dan sepatutnya telah banyak mengetahui tentang komposisinya pada masa ini.

Kumpulan dan kategori orang yang biasanya diabaikan ialah: wanita, kategori umur tertentu (tua, muda), orang kurang upaya (fizikal, mental), yang miskin dan lemah, individu yang berat mulut (segan dan kurang keyakinan), minoriti etnik dan bahasa, yang buta huruf, dan golongan berisiko tinggi serta yang dipinggirkan. Semasa panggilan untuk cadangan, fasilitator perlu menjemput orang seperti ini seorang demi seorang sekiranya mereka tidak menawarkan cadangan secara spontan.

Fasilitator perlu mengingatkan peserta bahawa kritikan dan balas kata adalah peraturan sementara untuk sesi pemerahan otak sahaja, dan hanya tidak dibenarkan dalam tempoh masa sesi; tetapi dibolehkan di luar sesi pemerahan otak.

Penggunaan Papan Catatan atau Kertas Catatan di dinding:

Proses pembuatan keputusan (semasa sesi pemerahan otak) bertujuan sebagai satu proses berkumpulan. Papan catatan membantu fasilitator membentuk tanggapan bahawa keputusan itu adalah keputusan kumpulan dan bukannya individu.

"Papan catatan" yang digunakan dalam edaran atau mana-mana bahagian dokumen ini, boleh merupakan banyak benda. Di peringkat yang lebih canggih, "papan catatan" boleh merupakan projektor overhed, dengan fasilitator membuat catatan menggunakan pen marker di atas kepingan lutsinar semasa proses itu. Yang paling popular ialah papan putih dengan menggunakan pen marker. Di sekolah yang berada di kampung atau pedalaman, mungkin adanya papan hitam (kadang-kala papan yang diwarnakan hitam dan tidak mudah untuk ditanda) dan fasilitator menggunakan kapur untuk mencatatkan cadangan peserta. Sekiranya tidak ada benda lain yang boleh digunakan, bolehlah cuba menggunakan tanah atau pasir di tanah, dan ditanda menggunakan batang atau dahan.

Untuk kumpulan yang buta huruf, gambar dan simbol adalah amat berguna. Fasilitator yang lebih teratur dan berkemampuan melabur ke atas bahan bantuan mengajar boleh menggunakan set gambar atau lukisan yang boleh ditampalkan di papan (contohnya gambar yang dilekat dengan pita velcro boleh ditampal di papan felt; "felt" ialah sejenis kain yang lembut). Penggerak perlu membiasakan diri dengan budaya komuniti itu. Kajian menunjukkan bahawa sekeping gambar yang kelihatan ketara untuk orang daripada sesuatu budaya mungkin ditafsirkan secara radikal oleh orang daripada budaya yang lain.

Penggunaan papan catatan dan pen marker adalah bahagian yang penting dalam proses ini; penggunaannya membantu membuatkan keputusan lebih objektif atau setaraf, dan kurang dikaitkan dengan individu tertentu. Proses ini tidaklah seberkesan sekiranya kesemuanya dijalankan secara lisan. Apabila cadangan yang kurang bijak dicatatkan tetapi digugurkan pada peringkat yang lebih lanjut atau terlepas pandang, tidak ada orang yang akan jatuh air muka. Penyusunan semula cadangan, pengaturan mereka mengikut keutamaan, adalah telus dan umum, lalu menghilangkan fokus kepada individu tertentu.

Atas sebab ini, papan catatan dan pen marker adalah elemen yang penting dalam struktur dan proses sesi pemerahan otak.

Pengisian dan Susunan Tajuk

Mana-mana set keputusan boleh dipilih. Tiga set keputusan yang dibentangkan dalam siri modul ini adalah berkaitan dengan projek komuniti:

Versi Satu:
  • Apakah yang kami kehendaki?
  • Apakah yang kami ada?
  • Bagaimanakah kami menggunakan apa yang kami ada untuk mencapai apa yang kami kehendaki?
  • Apakah yang akan berlaku apabila kami berbuat demikian?

Versi Dua:
  • Ke manakah ingin kami tuju?
  • Di manakah kami sekarang?
  • Bagaimanakah kami pergi daripada tempat yang kami berada sekarang ke tempat yang ingin kami tujui?
  • Apakah yang akan berlaku apabila kami berbuat demikian?

Versi Tiga:
  • Apakah masalahnya?
  • Definisikan matlamat sebagai penyelesaian kepada masalah:
  • Halusi matlamat kepada satu set objektif yang terhad (SMART);
  • Kenal pasti sumber dan halangan;
  • Janakan satu set strategi yang menggunakan sumber ini, mengelakkan halangan dan mencapai objektif itu;
  • Pilih strategi yang paling berkesan;
  • Tentukan pengorganisasian (struktur, siapa bertanggungjawab untuk apa, belanjawan, jadual); dan
  • Tetapkan pemantauan, pelaporan, penilaian.

Dua versi yang pertama adalah penting untuk empat soalan latihan pengurusan. Mereka sebenarnya cuma merupakan cara lain untuk mengatakan perkara yang sama. Rujuk Empat Soalan Utama Latihan Pengurusan. Versi ketiga adalah set empat soalan yang sama itu dikembangkan kepada satu format umum untuk reka bentuk projek (biasanya digunakan juga sebagai kertas cadangan projek). Rujuk Reka Bentuk Projek.

Adalah penting untuk mempunyai pengisian, atau set tajuk, untuk kumpulan membuat keputusan. Matlamat kami tidak akan tercapai sekiranya kumpulan dibawa bersama dan diberitahu untuk cuma mengemukakan beberapa keputusan yang kreatif. Mereka akan bertanya, "Keputusan tentang apa?"

Dalam setiap tiga versi di atas, setiap kenyataan yang bertitik adalah sesi pembuatan keputusan. Fasilitator mengemukakan soalan dan kemudiannya meminta cadangan daripada peserta (sila ingatkan peraturan sekali lagi jika perlu). Semasa setiap peserta mengemukakan cadangan, tanpa mengambil kira sama ada cadangan itu kurang bijak atau tidak berkaitan, fasilitator akan mencatatkannya di papan catatan. Dengan mencatatkannya di papan catatan, ini akan meletakkan semua peserta yang telah mengemukakan cadangan itu setaraf lalu memudahkan fasilitator untuk memanipulasi mereka.

Kesemua tiga versi yang disenaraikan di sini membawa kepada tindakan atau yang paling minimum, kemungkinan fasilitator berada di kedudukan yang membolehkannya mengorganisasikan kumpulan untuk bertindak. Ini adalah cara "latihan pengurusan" ini bergerak melampaui pemindahan kemahiran dan melibatkan pengorganisasian dan mobilisasi. Rujuk: Latihan untuk Penggerak.

Proses Pengutamaan:

Di setiap peringkat sesi, setelah semua cadangan dikemukakan dan fasilitator mencatatkannya di papan catatan, penyusunan keputusan mengikut keutamaan perlu dilakukan.

Di peringkat permulaan, fasilitator akan bertanya kumpulan secara keseluruhan untuk membantu menyusun semula cadangan-cadangan itu. Cadangan yang serupa tetapi dikemukakan dengan cara yang berlainan dikumpulkan dan cadangan yang berulang digugurkan. Cadangan yang sama dikumpulkan bersama. Kemudian, cadangan-cadangan ini disusun mengikut keutamaan, yang paling penting dipindahkan ke atas. Fasilitator meminta bantuan kumpulan untuk membantu menentukan cadangan yang mempunyai keutamaan ("mempunyai keutamaan" mengurangkan tanggapan bahawa satu idea itu adalah "lebih baik" daripada idea yang lain, yang cadangan seseorang peserta itu adalah lebih baik daripada yang lain, membantu menjaga air muka semua yang telah memberi sumbangan idea yang kemudiannya digugurkan secara senyap).

Adalah penting untuk peringatan, di peringkat ini, adalah amat berguna untuk memiliki ingatan pendek. Penyumbang setiap keputusan tidak disebut. Ini membantu mengurangkan mana-mana orang melihat sesuatu cadangan itu sebagai milik peribadi mana-mana peserta. Apabila cadangan yang kurang bijak dipindahkan ke bahagian bawah senarai, tidak ada yang akan rasa tersinggung atau dibuli; fokus telah diletakkan ke arah pengutamaan, dan pilihan cadangan yang paling penting.

Fasilitator perlu mahir dalam mengendalikan ini, dan kemahiran itu dibina daripada pengalaman. Adalah amat berguna untuk fasilitator mengingatkan kumpulan bahawa cadangan itu datangnya daripada mereka sendiri. Apabila kumpulan, dalam sesi, bersetuju dengan susunan keutamaan, fasilitator sekali lagi mengingatkan mereka bahawa cadangan itu datang daripada mereka sendiri sebagai satu kumpulan (bukannya daripada fasilitator). Fasilitator memainkan peranan kepimpinan yang kuat dalam membentuk struktur, proses (peraturan, cara sesi dikendalikan), dan pada masa yang sama menunjukkan dengan jelas bahawa pengisian (proses pembuatan keputusan berkumpulan) adalah dan semestinya datang daripada peserta.

Panggilan untuk Pengorganisasian dan Tindakan

Pemerahan otak, walaupun merupakan sejenis sesi latihan, tetapi tidak ditujukan kepada latihan tentang pembuatan keputusan berkumpulan. Pemerahan otak ialah satu proses pembuatan keputusan berkumpulan.

Di soalan tiga daripada kedua-dua versi tentang empat soalan utama yang dicatatkan di atas, soalan "Bagaimana" telah ditanya. Di versi ketiga, soalan kedua terakhir (tetapkan pengorganisasian) ialah cara lain untuk menanyakan "Bagaimana?". Bagaimana tindakan boleh diambil (objektif tercapai) ialah pilihan atau keputusan untuk kumpulan.

Sekiranya ini ialah di bilik darjah atau institusi latihan, mungkin peserta akan cuma menyatakan atau mencatatkan nasihat mereka tentang bagaimana mengorganisasi bagi mencapai matlamat utama mereka. Dalam sesi pengurusan untuk mengukuhkan komuniti atau kumpulan komuniti, sebaliknya, tujuan sebenarnya adalah untuk membentuk dan mengorganisasikan kumpulan agar kumpulan boleh menjalankan objektifnya. Ingat, "Ini merupakan latihan untuk tindakan."

Output sesi ini ialah, kumpulan bukan sahaja telah memilih objektif utamanya, tetapi telah menjadikannya lebih teratur untuk dicapai.

Kesimpulan:

Edaran dua muka surat itu menjelaskan bahawa pemerahan otak nampaknya mudah, dan peraturan dan prosedur fasilitator kelihatan terus-terang dan senang, walaupun ada sedikit diktatorial. Sebab di sebaliknya adalah berlawanan dengan diktatorial, sebaliknya, adalah untuk mengupayakan kumpulan agar mula membuat keputusannya sendiri sebagai satu kumpulan, dan pertimbangan sosiologikal di belakangnya adalah jauh daripada mudah. Kami berharap penerangan di atas akan menjadikan pertimbangan ini lebih jelas.

––»«––

Satu sesi Pemerahan Otak:


Pemerahan Otak

© Copyright 1967, 1987, 2007 Phil Bartle
Laman Web Design by Lourdes Sada
––»«––
Perkembangan terkini: 15.11.2011

 Laman Utama

 Pemerahan Otak